Puisi dan Sajak

KUNJUNGAN

Tika aku melewati pusara Abi
Kulihat rerumput panjang jalar melata
dedaun kering gugur berterbangan
Kurasa suasana semakinsepi
namun sambutanmu terhadapku hangat sekali.

Sedih mula menyebak hati
pada kanan kirimu tiada lagi ruang berbaki
di manakah aku nanti akan disemadi
sedangkan aku mahu benar-benar mahu baring di sisi.

Butir mutiara mataku  menitis persatu
bingung posisi letak jasadku
entah mana letak nesanku
Abi temanilah aku
seperti  kau lakukan sewaktu kecilku
sewaktu sakitku, sewaktu aku memerlukanmu.

Aku mengunjungi Abi,
kerana hampir benar waktuku
aku mengunjungi Abi
kerana aku khuatir aku tak sempat untuk mengujungimu
aku mungunjungi Abi
kerana aku khuatir tiada lagi aksara yang dapat kubaca
sementelahan aku telah mulai kehilangannya
Aku berharap dan berdoa
Tunailah hajatku berada di sisimu.

Janji II

mudah sebut
senang lafaz
rayu
pujuk
dengan sumpah
janji
ikrar 
segala

esok
nanti
besok
lusa
tulat
ditunggu tapi hampa

sori
maaf
please
geli aku mendengarnya

rupanya
satu permainan
satu penipuan
satu kezaliman
satu kejahatan
juga ke'syaitan'an

benar kata-Mu
hunjam di dalam hatinya
sebagai
munafik
yang tidak diterima
sampai bila-bila
walaupun terpaksa memikulnya 
di Padang Mahsyar

sekali menipu
seumur hidup
aku tidak percaya

Ada Kaukisah

ada kaukisah
aku tidak tidur lena
waktu malamku
asyik teringat sakit lelahmu
bimbang siapa merawatmu
dan cemas waktu pengsanmu

ada kaukisah
selama mengenalmu
aku tidur dengan telefon genggamku
terkejut selang jam dan melihat isyarat
khuatir kau memerlukan aku
saat-saat getirmu
demi aku ingin berbakti kepadamu

ada kaukisah
aku sebar tentang dirimu
untuk meraih simpati taulan
mohon berdoa kaupulih
dan mengharap ada yang menghargai puisi puitismu
supaya jadi teratas dalam ingatan
dan mendapat penghargaan

ada kaukisah
seharian berbaring di atas ranjang
berlari memandu untuk memenuhi permintaan
dalam keadaan sakitku, hujan lebat dan kelam kabutku
demi memberikan kaunikmat
sebelum diambil oleh-Nya sebagai penamat

ada kaukisah
aku memohon merayu supaya jangan kaujual
kerana aku tidak mahu puisimu putus,
mati karyamu di pertengahan jalan
tidak kesampaian hajatmu untuk melampiaskan,
bukankah bait tiap puisimu amat bermakna
menyedarkan manusia tentang erti cinta mulia

ada kaukisah
aku merafak dan meminjam
daripada orang lain untuk meringankan
dan menggembirakan
malah ada kalanya aku mengambil yang bukan hak
semata-mata mahu memberimu keceriaan
dan akhirnya
aku bergolok bergadai, terhutang ikhsan
dan simpati orang lain asalkan kau mendapat kebahagiaan

ada kaukisah
selepas semuanya terbongkar
aku masih lagi memberi simpati
terkejar-kejar mencari-cari baki,
lalu kumasukkan semuanya
kerana aku amat menyayangi dan menghargai
tahap persahabatan dan persaudaraan yang kauberi
juga taraf penghormatan dan janji yang kulakeri

ada kaukisah
warga kerajaanmu membenci
memaki dan memulauku dengan kata-kata caci
bahawa aku adalah dirimu dan akulah yang merancang
hilang bahasa dan harga budi
melemparkan benci sedangkan selalu ketawa dan menganggapku keluarga
dan akhirnya dengan mudah melafaz maaf tetapi di hati penuh rasa curiga

ada kaukisah
kotak merah, beruang dan sepasang baju melayu
jadi penunggu dan tidak berpemilik
ada kaukisah
ada kaukisah...

Berbaki Satu

Pagi ini
tatkala aku selak
lipatan kenangan semalam
satu persatu
hanya didapati
berbaki satu

aku kepung
aku tampung
jangan tiris
jangan titis

cuma tinggal ini
kalau tumpah tiada lagi
kalau patah tiada lagi
kalau hilang tiada lagi
cuma satu berbaki

aku pohon
aku mohon
jangan Kauambil dulu
yang terakhir ini
kerana
aku belum sempat
aku belum dapat
berjumpa
untuk kuberi kepadanya
sesuatu kenangan abadi
sebelum aku pergi.

Kalau Engkau Ada

kalau engkau ada
boleh kurangkul
dan kupeluk
kusandarkan dahiku
minta kaupujuk
minta kautepuk
untuk redakan
sebakku yang sudah di pelupuk
kalaulah engkau ada...

Keliru

menerobos waktu gelapku
aku kusut dengan satu persoalan ruwet
siapa aku, di mana aku, mengapakah aku
keliru dengan itu
aku singkap kenangan
tapi tak jumpa
yang ada cuma keluhan
aku selak masa lalu
tapi tak jumpa
yang ada cuma kebingungan
aku keliru dan bercelaru
lalu aku tinggalkan semua itu
dan begitulah aku
di sini menunggu...

Hari Ini Jiwaku Celaru

aku menginjak pagi ini dengan penuh kecelaruan
perasaan dalaman yang terpendamkan
kuleraikan kokotan itu
lalu kusisir satu persatu
dan kubuka simpulan matinya
namun
aku tak jumpa mana mulanya dan mana akhirnya
lalu kubiar
melaralah terus jiwa celaruku.

Kenangan Semalam

Hari ini aku menggogoi lagi
mengimbas kenangan
yang aku sendiri tak perhati
rupa-rupanya akulah pencoret diri

Kenangan semalam
tak mungkin kulupa
kauhadir seketika cuma
sekadar menjenguk memeriahkan rasa

aku diberi harapan
tapi aku tidak akan menahan
kalau harapan itu mungkin tak kesampaian
tapi yang aku risaukan
cuma kejujuran bukan menjadi pakaian.

Hari ini aku menanti lagi
aku pun tak pasti
harapan yang kauberi
kau tunaikan atau cuba kauhindari
kerana aku cuma sang penanti...

Aku Tidak Mahu Berkongsi

Aku tak mahu lagi berkongsi
duka lara ini dengan sesiapa
biarlah aku tahu aku sendiri yang tahu
walau dengan sesiapa
kerana duka lara ini milikku sendiri.

Aku tak mahu lagi berkongsi
kerana aku tidak mahu mereka tahu
dan aku tidak mahu mereka terkedu
tahap kronoiknya duka laraku
mahupun sengsara jiwaku lewat ini.

Biarlah sahaja masa berlalu
melihat orang lain bertambahlah pengalamanku
menumpang kasih pada angin lalu
mendengar khabar pada orang yang sudi bertamu
kerana aku tak mahu
berkongsi duka laraku.

Pulau Mutiara Yang Kutinggalkan II

Pulau Mutiara yang kutinggalkan
menyambut kehadiranku
yang pernah meninggalkan luka hati perawannya
lalu merawat memori hati lelakiku
dan menggambit kembali kenangan suku abadku.

Pulau Mutiara yang kutinggalkan
tegap, kukuh, teguh berdiri
utuh dengan kemegahan peribadi
gah memicu wawasan
sama seperti dulu-dulu
dan aku masih memancarkan kemilau itu
di persada sekian ini
walau pernah sirna.

Pulau Mutiara yang kutinggalkan
sarat dengan kenangan,
padat dengan tapak dan jejak
lalu kukutip dan titip satu persatu
kukokot dan simpan dalam fail kalbuku
kerana selepas kutinggalkan Pulau Mutiara ini nanti
akan kukunjungi dan kubuka kenangan
itu lagi dan lagi

Rindu II

Petang ini aku rindu lagi,
pada orang yang telah pergi,
yang saban malam menjelma dalam mimpi,
mungkin minta aku di sisi,
atau mungkin aku terlalu rindu padamu umi...

Usah bimbang aku akan segera datang,
dunia ini pun tempat berdagang,
mencari keredaan dibawa pulang,
sama ada diterima atau dibuang...

aku akan bersamamu sedikit lagi masa,
berikan kupeluang menebus dosa,
membawa pulang berketi pahla,
supaya kita dapat duduk bersama..

aku rindumu dan aku akan pulang.
menemui-Nya dan menemuimu umi..

Anak Didik

Senyuman itu mengingatkan aku
pada seorang anak didikku di Felda Tanjung
kurus dan kerdil
ketika ribut besar
melanda keluarganya
dia berlari ke kanan dan kiri
mengharap sinar mentari pagi,

Demikianlah anak itu
kerdil tak seperti senyumannya
bertahun melalui
denai kehidupan yang berduri
bersama bondanya yang tenang
menyusuri tiap penderitaan
dengan tabah dan beriman,

Anak itu mengagumkan aku
dalam tenang senyumannya
menolak sopan simpatiku
"Saya tak minta itu semua, cikgu"
"Ajarkanlah saya erti sebuah kehidupan"

Anak itu terlalu muda
namun mewah dengan pengalaman
kekuatan demikian tak semua mengecapinya,
kekuatan yang hebat, mematangkan
bila aku menyatakan dukaku
rasa pilu terhadap nasibnya
sekali lagi dalam senyuman agung dia berkata
"Usah sedih, cikgu. Tabahkan hati.
Banyak anak-anak seperti saya di dunia ini."

Aku jadi terpegun
dia, anak itu pula meredakan
mengawal ombak emosiku
jangan sedih melihat derita pahitnya
alangkah pilu hati lelakiku
yang mahu membela nasibnya
menerima nasihat supaya tabah dan berani
dari anak didikku sendiri,

Seorang anak sepertinya
pasti akan menghapus erti sebuah sengsara bondanya

Rahsia Buat Kita

Antara kita punya rahsia
yang aku tahu
yang engkaupun tahu
tapi antara kita ada rahsia
yang pastinya tiada
sesiapa yang tahu
kecuali Dia,

Rahsia antara kita
pastinya tak terungkai
kalau tiada yang tahu
apa yang kita tahu
yang pastinya rahsia itu
kita sahaja yang tahu
kita punya rahsia itu.

Kerinduan Ini

Kalau dapat kugulung rindu ini
pasti tiada tali yang dapat mengikatnya
malah kalau dapat ku hamparkan rinduku ini
pasti tidak dalat kulihat awal mulanya
apatah lagi di mana letak akhirnya
dan tidaka kelihatan hujung rindunya,

Kalau dapat kubungkus rinduku ini
pasti tiada kertas yang dapat membalutnya
atau reben merah yang dapat menyimpulnya
malah kalau dapat kubuka bungkusan rinduku ini
pasti tak dapat kugambar betapa besar jisim rindu
apatah lagi berat jirim rinduku,

Rindu yang kugulung dan yang dihampar
pasti akan kujadikan hantaran
bagi ikatan yang tercipta.

Kalau Kutahu

Kalau aku tahu
begini berakhirnya perjalananmu
lama dulu aku baiki
denai yang kau lalui,

Kalau aku tahu
demikian azabnya kehidupanmu
awal dulu aku sirami
tamanmu dengan kebahagiaan,

Begitulah aku
hanya tahu apabila
perjalanan yang kau lalui
dan taman yang kau sirami
rosak dan musnah
ketika benih yang kautanam
dan harapan yang kau semai
baru berputik dan bercambah,

Demikianlah aku
tak berdaya memacak tunjang
walau pasti dulunya
pancangan itu di tanganku,

Namun kini aku pasti
ikatan yang terputus
bertaut kembali
kerana aku memerlukanmu
dan katamu kau memerlukanku.

Lupa

Tatkala angin senja
melamar singgah di pipi kanan,
aku tersentak kerana terlalu leka
dengan kerja-kerja dunia,
aku lupa sejenak dengan kerja-kerja akhirat.

Tatkala angin itu singgah
Rindu tetiba menerjah,
rindu kaabah
rindu raudah.

Tatkala angin itu mampir
aku teringat dosa
aku teringat alpa
Lama tak bertahajud,
lama tak bertasbih.

Masya-Allah
Subhanallah
Astagfirullah

dosaku,
taubatku,
bercampur baur dalam gelora
pasti kusepuh segera

rindu untuk bersamping dengan-Mu
rindu untuk berdamping sisi-Mu
Kau terimalah rindu di atmaku ini, ya Rabbi.

Back to Top